Saturday, July 30, 2011

RAWATAN PENYAKIT SLE (SISTEM LUPUS ERITEMATISUS)

SYSTEMIC Lupus Erythematosus (SLE) atau lupus masih asing di kalangan penduduk di negara ini sehinggalah kisah penyakit ini mula mendapat perhatian sekitar Mei 2005.Ketika itu seluruh negara menjadi gempar dengan kisah seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Cahaya Gemilang, Cherating, Pahang, iaitu Nuraini Abu Bakar yang telah diserang penyakit kulit yang teruk dan agak ganjil.
Akhirnya persoalan terjawab apabila Nuraini telah disahkan menghidap SLE atau lupus.

SLE adalah sejenis penyakit kronik auto imun di mana antibodi dalam tubuh pesakit sepatutnya melindungi badan untuk melawan penyakit tetapi tiba-tiba ‘berubah’ dengan menyerang sel badan atau organ manusia.

Secara jelasnya, penyakit ini menganggu sistem imun badan (daya tahan badan) di mana sistem imun itu sendiri yang akan bertindak untuk melawan pada bahagian-bahagian tubuh yang sepatutnya dilindungi.

Bagi Chee Siew Lian, 54, Lucy Goh, 50 dan Shariffah Mohd. Shah, 48, antara 10,000 pesakit SLE atau lupus yang dikenal pasti di negara ini terpaksa melalui pengalaman perit sebagai penghidap penyakit ini ketika masyarakat masih lagi kabur tentang SLE.